Selama dua hari berturut-turut, pada acara Google I/O, Google memperlihatkan Google Glass, yang mana seperti semua sedia ketahui merupakan kaca mata dengan sokongan pintar terbina padanya. Dan melalui sebuah temuramah, Sergey Brin mengatakan mereka mensasarkan untuk melancarkannya kepada umum sekitar tahun 2014 kelak.
Semalam, Google telah pun mula menawarkannya dalam bentuk pra-tempahan untuk para pembangun pada harga $1,500. Seperti biasa, ia masih lagi pada peringkat awal, dan Google mensasarkan ia dihantar kepada para pembangun yang membuat tempahan, sekitar tahun hadapan. Semestinya, pembangun terawal yang menerimanya boleh membangunkan aplikasi khas untuknya, sekaligus mendapatkan pasaran pengguna yang tinggi apabila peranti tersebut dilancarkan kelak.
Selain daripada sokongan kamera, dan integrasi Google+ Hangout, tiada sebarang fungsi lain yang didemonstrasikan buat masa ini. Mungkin lebih banyak fungsi akan diperlihatkan dari semasa ke semasa, dan dengan tarikh pelancaran pada sekitar 2014 kelak, mungkin kita akan dapat melihat lebih banyak pengumuman berkaitan dengannya pada Google I/O tahun hadapan.