Walaupun jenama RIM semakin kurang popular dari hari ke hari, namun salah satu peranti yang dinantikan ramai adalah peranti BlackBerry 10. Kini, sebuah dokumen tertiris di arena web, memperlihatkan dua keluarga Blackberry 10 akan hadir kelak, dinamakan sebagai siri-L dan juga siri-N buat masa ini.
Daripada apa yang kelihatan, siri-L kelak akan membawakan skrin sentuh sepenuhnya, manakala siri-N membawakn sokongan papan kekunci QWERTY bersama dengannya.
Bertambah lagi, mengikut dokumen tersebut, peranti siri-L yang pertama kelak akan membawakan skrin dengan resolusi 768×1280 pixel pada 356PPI. Sekiranya ini benar, maka ia akan sekaligus mendahului skrin Retina pada iPhone 4S yang dicanang oleh Apple sebelum ini.
Siri-N pula dikatakan akan membawakan skrin dengan resolusi 720×720 pixel pada 330PPI.
N4BB turut sama mengatakan sekiranya semuanya berjalan lancar, mungkin peranti BlackBerry 10 pertama akan mula dipasarkan seawal bulan September kelak.
Sehingga kini, pihak RIM masih senyap tanpa sebarang tarikh pelancaran untuknya, selain hanya menyediakan peranti untuk pembangun, dinamakan sebagai BlackBerry 10 Dev Alpha.