Walaupun RIM memfokuskan kepada BlackBerry 10, namun kelihatan mereka tidak melupakan para pengguna sedia ada, dimana hari ini, mereka mula memperkenalkan sokongan untuk membuat panggilan suara melalui BlackBerry Messenger, melalui BBM 7.0.
Untuk menggunakannya, ia bergantung kepada WiFi, dan bukannya talian data mereka. Perkara ini sekaligus akan menjadikan penggunaan BBM lebih menarik lagi, disamping memudahkan para pengguna membuat panggilan kepada rakan-rakan mereka dan mendapatkan maklumbalas dengan pantas.
Ia juga sekaligus membolehkan para pengguna berkomunikasi dengan rakan-rakan di negara lain tanpa sebarang kos tambahan, selain daripada hanya sambungan kepada WiFi sahaja. Sokongan split-screen turut disertakan, membolehkan pengguna membuat panggilan suara, serta menghantar gambar, teks dan sebagainya pada masa yang sama.
Untuk memudahkan para pengguna mengenal-pasti rakan mereka boleh menerima panggilan suara ataupun tidak, sebuah ikon notifikasi turut disediakan pada aplikasi terbaru ini. Dan seperti panggilan biasa, pengguna turut boleh menolak panggilan dan menghantar teks (sesuai sekiranya ketika bekerja, mesyuarat dan sebagainya).
BBM 7 dengan sokongan panggilan suara ini ditawarkan dalam bentuk beta buat masa ini, dan memerlukan pengguna menggunakan BlackBerry 6 OS dan yang terkini. Sokongan untuk BlackBerry 5 OS akan diperkenalkan pada masa akan datang. Bagi mereka yang berminat, boleh mendapatkannya daripada BlackBerry Beta Zone hari ini.