KAMI MENGHADAPI MASALAH YANG AGAK BESAR DIANTARA KREW KAMI.......MASA DEPAN AZMIR NEWS TERUMBANG AMBING....TAPI APAKAN DAYA...KITA HANYA MAMPU MERANCANG TAPI ALLAH YANG MENENTUKANNYA....KAMI MEMOHON MAAF ATAS SEGALA KESULITAN YANG DIALAMI...
Peranti pelbagai saiz dan harga daripada Samsung bukanlah sesuatu yang baru. Selepas tahun ini melancarkan Galaxy Note 10.1, kini dilaporkan Samsung bakal hadir dengan Galaxy Note 7.
Seperti pada namanya, ia dijangka akan menggunakan skrin bersaiz 7-inci. Perkara ini dispekulasikan berdasarkan kepada saiz resolusi 1280×800 pixel.
Daripada apa yang dilihat di GLBenchMark, ia kelihatan menjalankan Android 4.1.2 dan seperti biasa, mungkin Samsung akan mengemaskini ia kepada Android 4.2 Jelly Bean kelak.
Mungkin kita akan melihat pengumumannya pada CES 2013 pada Januari ataupun MWC pada bulan Februari kelak. Sama-sama kita nantikannya.
Sejak pengumuman Belanjawan 2013 tempoh hari, salah satu perkara yang ditanya ramai adalah berkaitan dengan Pakej Komunikasi Belia. Untuk makluman semua, Pakej Komunikasi Belia ini boleh dibuat pendaftaran dan permohonan melalui laman SKMM bermula daripada 1 Januari 2013 hingga 31 Disember 2013 kelak.
Bagi yang tidak mengetahui akan Pakej Komunikasi Belia ini, ia adalah rebat sebanyak RM200 untuk pembelian telefon pintar 3G, dimana merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mempromosi gaya hidup digital kepada belia.
Daripada apa yang diketahui buat masa ini, ia dikatakan akan diuruskan oleh syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom, DiGi, UMobile, Yes YTL, dan juga TuneTalk. Seterusnya, syarikat telekomunikasi akan memilih beberapa pengedar dan penjual untuk mendapatkan telefon pintar daripadanya.
Antara pengedar dan penjual yang akan menawarkan telefon pintar dengan rebat Pakej Komunikasi Belia ini adalah Senheng dan juga SenQ.
Seperti biasa, beberapa syarat perlu dipatuhi oleh para pengguna dalam mendapatkan rebat sebanyak RM200 ini, dimana antaranya adalah;
Warganegara Malaysia berumur 21 tahun hingga 30 tahun.
Berpendapatan bulanan RM3000 ke bawah
Model telefon pintar 3G yang diluluskan dengan harga maksimum RM500
Pelanggan jalur-lebar mudah-alih sedia ada atau pakej baharu.
Hanya satu telefon pintar untuk satu belia.
Lebih maklumat lanjut, dengan senarai telefon yang akan ditawarkan dijangka akan diketahui dalam masa terdekat ini.
Pelancaran peranti Nexus 4 adalah salah satu perkara yang dinantikan ramai. Ketika kami hubungi pihak LG, mereka mengatakan ia akan hadir pada bulan Januari, dan kini, stringfellowmelalui forum Lowyat, berkongsi beberapa info berkenaan dengannya.
Daripada apa yang dikongsikan, LG Nexus 4 dikatakan akan dilaporkan seawal 7 atau 8 Januari 2013 kelak, dan akan ditawarkan pada harga RM1599 untuk versi 16GB. Beliau turut berkongsi akan gambar daripada kedai Hotspot yang telah mula akan pra-tempahan untuknya.
Turut dikongsikan adalah dikatakan DiGi bakal turut menawarkan peranti tersebut, dimana seperti biasa, melalui pakej telekomunikasi, kita akan dapat melihat harga peranti yang lebih murah untuk komitmen bulanan. Apa pun, sama-sama kita nantikan maklumat lanjut daripada pihak LG yang mungkin kita akan ketahui tidak lama lagi.
LG Nexus 4 merupakan peranti dengan sokongan rasmi daripada Google, membawakan skrin bersaiz 4.7-inci dengan resolusi 1280×768 pixel (320PPI), cip pemprosesan Qualomm Snapdragon S4 Pro, memori sebanyak 2GB RAM, dan menggunakan Android 4.2 Jelly Bean padanya.
Akhirnya, lagu sensasi dan video paling popular di YouTube sepanjang tahun ini, Gangnam Style daripada PSY telah pun mencapai 1 bilion paparan, sekaligus menjadi video pertama yang mencapai angka paparan tersebut di YouTube.
YouTube sendiri, khas untuk video berkenaan, kini memaparkan sebuah ikon khas bersebelahan dengan angka 1 bilion, menjadikan ia agak unik untuk hari ini.
Gangnam Style telah diterbitkan di YouTube pada bulan Julai yang lepas, sekaligus menjadi video yang paling popular di dunia dalam masa yang amat singkat, apatah lagi dengan pelbagai parodi yang dibuat oleh penduduk seluruh dunia untuk lagu tersebut.
Jadi, mungkinkah pada tahun 2013 kelak, kita akan melihat lebih banyak video mencapai angka paparan 1 bilion di YouTube?
Apple pada tahun ini bergerak sepenuhnya dibawah pempinan baru – Tim Cook, dimana pelbagai produk baru dan sedia ada dikemaskini oleh mereka, disamping Apple yang turut menerima kritikan daripada pengguna seluruh dunia atas produk mereka Apple Maps.
Retina dan iBooks
Apple memulakan awal tahun ini dengan acara yang memfokuskan kepada pendidikan, disamping memperkenalkan iBooks Author serta iBooks yang baru.
Seperti semua sedia maklum, iBooks merupakan salah satu platform untuk mendapatkan dan menerbitkan buku digital. Untuk memudahkan penghasilan pelbagai buku digital oleh sesiapa sahaja, Apple turut melancarkan perisian percuma yang dinamakan sebagai iBooks Author kepada para pengguna Mac OS X.
iBooks Author boleh dikatakan salah satu aplikasi yang menarik minat kami sendiri, apatah lagi memudahkan penerbitan buku dengan membolehkan pengguna menambah pelbagai media ditambah padanya.
Pada masa yang sama, pada suku tahun pertama 2012 ini juga, Apple turut memperkenalkan tablet generasi ketiga mereka, yang dikenali sebagai iPad Baru, yang menyertakan pelbagai kemaskini spesifikasi, serta skrin dengan paparan resolusi tinggi, ataupun yang dikenali sebagai Retina dikalangan pengguna produk Apple.
iPad Mini dan iPad 4
Bercakap mengenai tablet daripada Apple, setelah mengumumkan iPad generasi ketiga pada awal tahun, mereka turut memperkenalkan kemaskini untuknya dalam tempoh hanya beberapa bulan sahaja, sekaligus memulakan jualan iPad 4. Perkara ini sekaligus menjadikan ramai tertanya-tanya adakah produk Apple kelak tidak lagi akan eksklusif dengan kemaskini produk yang akan lebih kerap berbanding kemaskini tahunan seperti sebelum ini.
Disamping pengenalan iPad 4, Apple turut sama memperkenalkan tablet bersaiz 7-inci, dikenali sebagai iPad Mini. Walaupun digemari daripada saiz dan cara memegang dan mengendalikannya, namun ramai yang tidak begitu mengemari iPad Mini disebabkan oleh tiada penyertaan skrin dengan paparan Retina padanya.
Kedua-dua sistem operasi daripada Apple menerima kemaskini pada tahun ini, iaitu OS X dikemaskini kepada OS X 10.8 Mountain Lion, dan juga iOS dikemaskini kepada iOS 6.
Kedua-dua sistem operasi ini mengintegrasikan iCloud secara menyeluruh, membolehkan fail dikongsikan dan di sync antara peranti dengan mudah dan pantas.
Mountain Lion turut sama mengintegrasikan pelbagai elemen daripada sistem operasi mudah-alih mereka seperti sokongan Notification Center, integrasi perkongsian sosial pada pelayar web, integrasi fungsi iMessage, aplikasi Reminder, Notes, QuickTime X dan pelbagai perkara yang lain.
iOS 6 juga turut diperkenalkan kepada para pengguna peranti mudah-alih mereka, yang mana menyertakan beberapa perkara baru, termasuk integrasi Facebook dan Passbook padanya. Namun, semestinya perkara yang diperkatakan ramai adalah berkenaan dengan Apple yang membuang aplikasi YouTube dan juga Google Maps padanya, dan mengantikan dengan Apple Maps.
Apple Maps telah menerima kritikan ramai pengguna seluruh dunia, apatah lagi dengan pelbagai data yang tidak lengkap dan lokasi alamat yang salah padanya. Pihak Apple sendiri meminta maaf untuknya dan mengatakan akan mengemaskini ia dari semasa ke semasa.
iPhone 5
Pada setiap tahun, salah satu perkara yang dinantikan ramai daripada Apple adalah telefon pintar mereka, dan pada tahun ini, Apple memperkenalkan iPhone 5. Tiada banyak perkara baru yang dibawakan padanya, selain daripada hanya skrin yang bersaiz lebih besar – 4-inci, dan juga pengenalan kabel pengecasan yang dinamakan Lightning padanya, mengantikan kabel pengecasan lama yang bersaiz besar.
Ia sekaligus membolehkan pengguna tempatan mendapatkan pelbagai media daripada penerbit tempatan dengan mudah melalui iTunes. Sokongan iTunes Match turut sama diumumkan oleh Apple ketika pengenalannya pada bulan Jun yang lepas.
Bersama-sama dengan pengenalan sokongan iTunes Store untuk pasaran Malaysia, Apple turut mula menjual peranti AppleTV mereka untuk pengguna tempatan, membolehkan mereka menikmati pelbagai kandungan daripada iTunes dengan mudah.
Apple juga membuat kejutan apabila buat pertama kalinya menyiarkan acara pengumuman rasmi produk mereka melalui AppleTV dan juga web, yang mana dikhaskan untuk pengguna yang menggunakan QuickTime dan Safari.
Saman Dan Lain-Lain
Bercakap mengenai Apple, semestinya salah satu perkara yang tidak boleh ditinggalkan adalah mengenai kes saman mereka dengan beberapa pengeluar, terutamanya dengan pesaing terdekat mereka – Samsung.
Kes saman antara kedua-dua gergasi ini dijangka berlanjutan sehingga tahun hadapan, dengan beberapa kes baru yang didaftarkan ke mahkamah baru-baru ini.
Pada masa yang sama, tahun ini juga kelihatan Apple menghadapi beberapa masalah untuk menangani sekuriti, daripada OS X yang diserang malware beberapa kali pada tahun ini, selain masalah pengodaman UDID.
Pelbagai penganalisa mengeluarkan kenyataan mereka daripada kaedah Apple menangani masalah ini, dimana Kaspersky sendiri mengatakan Apple masih sedekad dibelakang Microsoftdalam menangani masalah sekuriti.
Penutup
Dengan arena mudah-alih dan perkomputeran yang semakin berkembang pesat, semestinya Apple mempunyai beberapa strategi pada tahun hadapan, yang mana bakal menentukan hala tuju sebenar mereka.
Apple sendiri mengalami beberapa perubahan dari segi eksekutif untuk beberapa bahagian dalam syarikat mereka, yang mana mungkin mengubah beberapa perkara pada tahun hadapan.
Jadi, apakah yang dinantikan anda daripada Apple untuk tahun hadapan?
Gema riuh di arena Internet sepanjang tahun 2012 akan satu teknologi yang dikenali sebagai NFC, ataupun nama penuhnya iaitu Near Field Communication. Adakah kita mengetahui dan memahami apakah yang dimaksudkan dengan NFC ini, dan adakah kita memahami kitaran mekanisma operasinya? Jika anda kurang memahaminya, ataupun tidak memahaminya langsung, artikel ini akan membantu anda untuk mengetahui tentang asas-asas teknologi yang dibawakan oleh NFC ini.
Sejarah NFC
Sejarah NFC bermula pada tahun 1983, iaitu ketika diperkenalkan teknologi Pengenalan Dengan Menggunakan Frekuensi Radio (Radio-Frequency Identification ataupun RFID). Namun, nama NFC mula muncul pada tahun 2004 setelah ditubuhkan Forum NFC oleh Nokia, Philips dan Sony. Tahun demi tahun berlalu, beberapa piawaian telah diperkenalkan sehinggalah telefon pintar yang menggunakan NFC pertama diperkenalkan iaitu Nokia 6131 pada tahun 2006 dan kemudian pada tahun 2010 diperkenalkan pula Samsung Nexus S iaitu telefon pintar Android pertama yang menggunakan NFC.
Sehingga kini, peranti pintar yang menggunakan NFC semakin bertambah, antaranya ialah BlackBerry Curve, Galaxy Nexus, HTC One X, LG Optimus Vu, Nokia Lumia 920, Samsung Galaxy S3, Sony Xperia S, dan juga banyak lagi.
Konsep Ringkas NFC
Sebagaimana yang dimaksudkan dengan namanya, NFC merupakan protokol penghantaran dan penerimaan data pada jarak yang dekat sahaja, iaitu pada jarak yang kurang daripada 4 sentimeter (4 cm).
Jarak penghantaran singkat mampu membendung masalah seperti data dicuri pihak ketigaSecara ringkas, anda boleh membayangkan corak mekanismanya sama seperti perkongsian data yang dilakukan oleh suami isteri yang dilakukan secara berbisik. Si suami pulang daripada pejabat lalu melihat anaknya sedang menangis di meja belajar. Kemudian si suami pun mencuit isterinya supaya dibisikkan kepadanya berapakah bilangan A yang diperolehi oleh anaknya dalam peperiksaan PMR yang lalu.
Dengan penuh hati-hati, si isteri pun berbisik ke telinga suaminya supaya perbualan mereka tidak dapat didengari oleh si anak. Sama seperti NFC, jarak yang teramat dekat untuk perkongsian data mampu membendung masalah seperti data dicuri sebagaimana kelaziman yang berlaku di dalam rangkaian tanpa wayar (WiFi).
Jenis Penghantaran & Penerimaan Data Melalui NFC
Antara dua medium – iaitu medium aktif dan medium pasifNFC membawakan 3 jenis penghantaran dan penerimaan data. Jenis yang pertama ialah perkongsian data antara medium aktif dan medium pasif. Melalui jenis ini, komunikasi yang berlaku ialah diantara peranti pintar seperti telefon pintar (medium aktif) dan medium seperti kad ataupun tag (medium pasif).
Melalui jenis ini, kitaran penghantaran data yang berlaku adalah seperti berikut:
Kad yang mempunyai cip memori NFC (kad ini juga dikenali sebagai NFC Tag ataupun NFC Smart Poster) merupakan kad yang dikuasakan oleh medan magnet. Ia tidak memerlukan sebagai bateri untuk menggerakkan operasinya. Bergantung kepada jenis memorinya sama ada data di dalamnya boleh dipadamkan/ditulis semula atau tidak.
Peranti pintar yang merupakan medium aktif akan memancarkan gelombang radio untuk berkomunikasi dengan NFC Tag. Gelombang yang dipancarkan akan mengaktifkan NFC Tag tersebut.
NFC Tag yang menerima gelombang radio itu akan berinteraksi dengan peranti pintar dan seterusnya menghantar data yang diminta oleh peranti pintar.
Contoh implementasi bagi komunikasi jenis ini ialah NFC Smart Poster seperti gambar dibawah;
Sebagai contoh tambahan, pihak muzium boleh mengaplikasikan NFC Tag ini pada setiap artifak yang dipaparkan dalam ruang pameran. Pelawat hanya perlu mencari NFC Tag sahaja untuk mendapatkan info akan artifak berkenaan, mungkin dalam bentuk pautan video, atau kandungan-kandungan yang berkaitan. Ia lebih interaktif, menjimatkan kertas dan juga kandungan boleh dikemaskini dengan mudah selain daripada memudahkan pelawat untuk memuat turun maklumat untuk dijadikan simpanan.
Antara medium aktif dan aktifManakala bagi jenis yang kedua pula ialah perkongsian antara dua peranti aktif iaitu interaksi antara dua peranti pintar yang masing-masingnya dilengkapi dengan teknologi NFC. Anda boleh memikirkan bahawa konsep mekanismanya sama seperti penghantaran dan penerimaan data melalui Bluetooth namun dengan beberapa ciri-ciri yang tidak terdapat pada Bluetooth.
Ciri-ciri berkenaan ialah perkongsian data lebih perlahan jika dibandingkan dengan Bluetooth, jarak antara dua peranti mestilah teramat dekat (kurang dari 4 cm), namun ia menggunakan tenaga yang kurang dan juga ia tidak memerlukan sebarang pengesahan berkata-laluan (authentication code) ataupun pairing process. Hanya pastikan sahaja 2 peranti pintar berada pada satu jarak yang dekat, aktifkan NFC dan penghantara data boleh dilakukan.
Namun demikian, hanya data yang bersaiz kecil sahaja mampu dihantar dan diterima pada waktu ini. Adalah mustahil untuk anda melakukan penghantaran data seperti rakaman berdefinisi tinggi atau apa-apa yang serupa dengannya.
Android Beam merupakan implementasi NFC bagi jenis ini dan anda boleh menonton video di bawah ini untuk memahaminya dengan lebih lanjut.
NFC untuk transaksi tanpa sentuhanNFC jenis ketiga merupakan jenis yang paling dinantikan oleh para pengguna, iaitu menggunakan NFC bagi melakukan transaksi tanpa sentuhan (contactless payment) di kedai-kedai yang menyokong teknologi ini.
Sebenarnya, teknologi transaksi tanpa wayar ini sudahpun diaplikasikan seperti kad Touch&Go, namun dengan menggunakan teknologi NFC pada peranti mudah-alih, beberapa masalah keselamatan dapat dielakkan.
Pertamanya, jika kita kehilangan kad kredit tanpa sentuh, ia masih dapat digunakan lagi lebih-lebih lagi bagi individu yang berniat jahat. Kad yang dicuri berkenaan hanya dapat dinyahaktifkan selepas pihak bank dihubungi supaya ditamatkan perkhidmatan kad berkenaan (sekiranya pengguna kad berkenaan sedar akan kehilangan kad tersebut).
Situasi yang sama tidak akan berlaku dengan teknologi NFC. Telefon anda sendiri pun sudah mempunyai pelbagai kunci digital, sebagai contoh kunci bagi paparan (lockscreen), kunci bagi aplikasi transaksi berkenaan dan lain-lain lagi. Contohnya jika anda menggunakan Google Wallet untuk pembayaran melalui NFC, anda boleh membatalkan sebarang kad kredit yang dipautkan dengan mudah melalui antaramuka web sekiranya peranti pintar anda hilang.
Selain daripada nilai keselamatan yang dipertingkatkan, implementasi NFC dan juga gabungan aplikasi tertentu akan membawakan lebih pengalaman ketika berjual beli di mana sebarang kupon boleh dimasukkan secara terus ke dalam peranti pintar anda, resit pembelian dalam bentuk digital dimuat naik terus ke peranti pintar anda, dan juga ia boleh dilengkapkan dengan aplikasi penjejak perbelanjaan bulanan.
Masa hadapan NFC
Pada masa akan datang, barangkali kita tidak memerlukan sebarang kunci fizikal untuk menghidupkan kereta dan juga untuk membuka pintu rumah. Semuanya diuruskan dengan cekap oleh peranti pintar yang dikuasakan oleh NFC ini.
Jika anda berada di pusat membeli belah pula, NFC (dan juga gabungan aplikasi tertentu) boleh memberikan keselasaan kepada anda untuk melakukan perbandingan harga antara produk-produk tertentu serta membaca ulasan produk berkenaan daripada pengguna-pengguna yang sudah memilikinya.
Penutup
Pada ketika ini, teknologi NFC masih lagi baru. Ia mungkin mengambil masa untuk ‘matang’ serta digunakan secara meluas. Mungkin tidak lama lagi hampir semua urusan jual beli, perkongsian fail serta bidang-bidang berkaitan akan mengambil manfaat sepenuhnya daripada kehebatan teknologi NFC ini.
Mari kita tunggu sahaja apa yang masa hadapan janjikan kepada kita bagi teknologi NFC ini.
Artikel ini ditulis oleh saudara Aizan Fahri, salah seorang pelajar INTEC berumur 18 tahun. Ikuti beliau di Twitter melalui @aifrantzataupun membaca nukilan beliau di blog peribadi.
Asus PadFone 2 ialah sebuah peranti hibrid yang menggabungkan sebuah telefon pintar dengan sebuah tablet bersaiz penuh. Keunikan PadFone2 ialah dimana anda mampu memiliki sebuah telefon pintar dan tablet tanpa perlu berbelanja besar. Kedua-dua peranti berkongsi kad sim dan cip pemproses yang sama. Perubahan dari satu mod ke mod yang lain dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Persoalannya sekarang adakah peranti hibrid 2 dalam 1 ini akan menjadi trend di masa hadapan? Adakah PadFone 2 peranti yang dinantikan bagi mereka yang mahu tablet dan telefon tetapi enggan berbelanja besar? Sila baca ulasan menyeluruh kami untuk mendapatkan jawapannya.
Perkakasan
Asus Padfone 2 diperkasakan dengan pemproses 1.5 GHz empat teras Snapdragon S4 Krait, memori sebanyak 2GB RAM, skrin 4.7″ inci LCD Super-IPS dan pilihan 3 pilihan saiz muatan storan dalaman (16/32/64 GB). Resolusi skrin pula ialah 720×1280 dalam mod telefon dan 800×1280 dalam mod tablet. Kamera belakang ialah sebesar 13 Megapixel sementara kamera hadapan pula ialah 1.2 Megapixel. Terdapat juga sebuah kamera hadapan pada PadFone Station sebesar 1 Megapixel untuk menudahkan panggilan video dalam mod tablet. Asus Padfone 2 menggunakan sebuah kad-SIM Mikro dan tidak mempunyai sokongan muatan tambahan kad mikro-SD. Bateri sebesar 2140 mAh disertakan tetapi tidak seperti PadFone 1, bahagian bateri pada PadFone 2 tidak boleh dibuka.
Spesifikasi PadFone Station
Cip
Tiada
Kamera
1.0 megapixel
Skrin
10.1 inci IPS
Bateri
5000 mAh
Spesifikasi Asus PadFone 2
Cip
1.5GHz (empat-teras)
Kamera
13 megapixel belakang
Storan Terbina
16/32/64 Gigabyte
Skrin
4.7-inci Super IPS
Bateri
2140 mAh
Kemasan
Sekilas pandang, PadFone 2 kelihatan seperti sebuah iPhone 4. Ketika menggunakan peranti ini selama seminggu sudah beberapa kali teman-teman kami bertanya sejak bila kami menggunakan iPhone. Kemasan logam di keliling telefon serta slot kad sim sangat menyerupai telefon pintar keluaran Apple. Perbezaan hanya boleh dilihat apabila anda melihat bahagian bawah, tepi dan belakang PadFone2. Bahagian badan PadFone 2 menirus pada bahagian bawah. Bahagian belakangnya pula diperbuat daripada plastik. Rekaan tirus ini mengingatkan kami kepada rekaan Asus Zenbook. Ini tampak sebagai usaha pihak Asus untuk menyeragamkan rekaan kesemua produk utama mereka.
PadFone 2 Station ialah nama yang diberikan kepada “tablet” mereka. Sekali lagi pengaruh rekaan Apple boleh dilihat. Kali ini rupa bahagian depan, belakang , butang kuasa dan pembesar suara menyerupai sebuah iPad 2. Slot untuk memasukkan PadFone 2 terletak pada bahagian tengah PadFone Station dan slot ini terbuka sepanjang masa tidak seperti pada PadFone1. Ini memudahkan proses menggabungkan kedua-dua peranti tetapi ruang terbuka ini pasti akan mengumpul habuk. Bahagian belakang PadFone Station dibina menggunakan bahan plastik dan agak mudah melentur. Sungguhpun begitu ianya tidak seteruk yang ada pada Galaxy Note 10.1 yang sudah terkenal dengan “kemampuan” melenturnya. Dari segi kemasan tablet ini masih tidak dapat menandingan kemasan sebuah iPad.
PadFone 2 menggunakan port pengecas rekaan khas Asus yang mempunyai tiga kepala. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menggunakan pengecas standard Mikro-USB yang digunakan peranti-peranti mudah-alih biasa pada hari ini. Ini juga bermakna PadFone 2 juga boleh disambungkan kepada komputer dengan menggunakan kabel Mikro-USB biasa. Perbezaan ketara antara kabel pengecas/data yang disertakan Asus dengan kabel Micro-USB ialah sambungan adalah longgar dan mudah tertanggal jika tidak menggunakan kabel khas yang disertakan.
Penggunaan Padfone
PadFone 2 diperkasakan oleh cip pemprosesan 1.4 GHz empat teras. Adalah tidak mengejutkan apabila ujian penanda aras yang dilakukan kami mempunyai markah yang agak tinggi. Menurut ujian Antutu dan Quadrant, PadFone2 jauh lebih baik dari Nexus 4, Galaxy S3, HTC One X+ dan juga Galaxy Note 2. Tatalan dapat dilakukan dengan cukup lancar. Asus juga tidak melakukan perubahan yang banyak terhadap antaramuka sistem operasi Android Ice Cream Sandwich peranti ini. PadFone 2 masih menggunakan ICS tetapi kami difahamkan penaiktarafan ke Jelly Bean akan dilakukan bermula minggu ini.
Antaramuka yang digunakan rata-ratanya tida perubahan dari ICS asas. Perubahan hanya dilakukan pada antaramuka kamera dan palang notifikasi. Pada palang notifikasi anda boleh mengubah sistem audio, pilihan WiFi, menghidupkan mod siang hari untuk mengawal kecerahan paparan skrin dan pengaktifan apliksi Asus Instant Dictionary.
Apabila PadFone 2 dimasukkan kedalam PadFone Station, perubahan ke mod tablet hanya mengambil masa dua saat. Yang menarik bagi kami ialah antaramuka pada PadFone Station secara automatik berubah ke mod tablet serta-merta.
Kami juga turut mencuba aplikasi Flipboard terkini, dimana ia berfungsi dengan lancar. Apabila kami menggunakan ia pada telefon Padfone 2, ia memaparkan antaramuka telefon, dan apabila digabungkan ke Padfone Station, ia serta-merta mengubah kepada antaramuka tablet. Beberapa aplikasi lain juga membawakan konsep yang lebih kurang sama, sekiranya pembangun aplikasi tersebut menawarkan antaramuka tablet untuknya.
Kamera
PadFone 2 dilenagkapi dengan kamera 13 Megapixel SONY. Sungguhpun mempunyai sensor yang agak besar kami mendapati kualiti gambar yang di ambil tidak sebaik yang ada pada Samsung Galaxy SIII dan HTC One X. Gambar yang di ambil sedikit kabur dan terdapat masalah noise yang ketara pada gambar yang diambil dalam suasana kelam. Sungguhpun begitu apa yang kami sukakan ialah butang suara boleh digunakan sebagai butang pemetik gambar. Seperkara lagi yang kami rasakan aneh ialah saiz gambar dihadkan kepada 5 Megapixel sahaja dalam mod tablet.
Bateri
Bagi sebuah peranti dengan bateri sebesar 2140 mAh jangka hayat penggunaan PadFone2 agak mengecewakan. Secara purata kami hanya dapat menggunakan Padfone 2 sehingga 8 jam dengan sekali caj pada penggunaan biasa kami. Kami merasakan bagi sebuah peranti dengan bateri sebesar ini seharusnya PadFone 2 dapat berfungsi sekurang-kurangnya sehingga 9 jam. Dalam situasi beginilah kami rasakan PadFone Station menjadi penyelamat apabila bateri sudah kritikal. Seperti kami ada katakan pada awal ulasan ini, PadFone Station boleh diubah menjadi battery pack yang mengecas PadFone 2 apabila ia disambungkan.
Dengan penggunaan sederhana pula kami mampu memanjangkan hayat penggunaan sehingga 17 jam. Jangka hayat terpanjang yang berjaya kami lakukan ialah 23 jam.
Penanda Aras
Aplikasi penanda aras Quadrant dan Antutu kami gunakan bagi membangdingkan kemampuan PadFone 2 berbanding dengan peranti empat-teras yang lain. PadFone 2 dengan mudah mengalahkan LG Galaxy Nexus 4, Galaxy SIII dan HTC One X+. Penggunaan pemproses Snapdragon S4 Krait jelas memberikan PadFone2 prestasi yang lebih tinggi berbanding 3 peranti diatas.
Kesimpulan
Asus PadFone2 memperbaiki segala kelemahan yang ada pada PadFone asal. Dari keputusan penanda aras yang kami lakukan jelas sekali PadFone2 adalah antara peranti pintar Android terbaik yang mampu anda miliki sekarang. Kami tidak mengalami banyak masalah sepanjang melakukan ulasan ini. Masalah yang kami hadapi terhad aplikasi yang gagal melakukan scale up sempurna ketika berubah dari mod telefon ke mod tablet apabila menggunakan PadFone Station
Perubahan dari mod telefon ke mod tablet adalah lancar. Fungsi mengecas PadFone 2 ketika bergabung dengan PadFone station adalah sebuah fungsi yang benar-benar kami sukai kerana ini mampu memanjangkan hayat bateri PadFone2 yang agak mengecewakan.
Kemampuan kamera sedikit mengecewakan bagi sebuah kamera 13 Megapixel. Gambar agak kabur dan tidak secantik yang diambil sebuah HTC One X ataupun Galaxy S3. Masalah noise yang agak ketara jelas kelihatan pada gambar yang diambil dalam suasana kelam.
Sungguhpun begitu kami merasakan pada harga RM2700 ianya sebuah peranti hibrid yang sesuai digunakan bagi mereka yang mahu memiliki tablet dan telefon pintar pada waktu yang sama tanpa perlu berbelanja besar. Kami juga mendengar, beberapa penjual, menawarkannya pada harga RM2500.
PRO dan Kelebihan
Paparan skrin 4.8″ Super IPS+ adalah sangat jelas. Terdapat mod sianghari yang memudahkan paparan skrin dibaca sungguhpun di bawah cahaya matahari yang terik.
Pemproses empat teras 1.4 Ghz Snapdragon Krait memberikan kemampuan memproses yang tinggi. Kelajuan tatalan skrin amat lancar dan kelancaran aplikasi juga dapat dilihat
Pada harga saranan RM2700 anda mampu memiliki tablet dan sebuah telefon pintar berprestasi tinggi.
Berat keseluruhan Padfone2 dan Padfone Station masih lebih ringan dari sebuah iPad. Jika anda membawa kedua-dua kombinasi peranti ini, ianya tidak akan memenatkan tangan anda
PadFone Station juga berfungsi sebagai battery pack yang boleh mengecas PadFone2. Tidak perlu membeli battery pack lain.
Butang suara menjadi butang pemetik kamera. Ini memudahkan pengambilan gambar bagi sebuah peranti yang tidak didatangi dengan butang kamera fizikalnya sendiri seperti Xperia Ion.
KONTRA dan Kekurangan
Binaan dan kemasan yang agak plastik pada bahagian belakang.
Jangka hayat bateri yang agak mengecewakan sungguhpun ianya sebesar 2140 mAH
Kamera 13 Megapixel yang kurang tajam kualiti gambarnya. Kamera juga hanya dihadkan kepada 5 Megapixel dalam mod tablet. Mengapakah ini berlaku?
Bahagian belakang PadFone Station adalah terbuka dan pastinya akan menjadi berhabuk setelah sekian lama.
Tatalan agak bermasalah dalam mod tablet. Ianya tidak selancar tatalan pada skrin PadFone2 yang agak lancar. Kami lebih gemar menggunakan PadFone 2 sahaja dari PadFone Station.
Ketiadaan sokongan kad Mikro-SD. Muatan dalaman adalah terhad kepada model yang anda beli
Dalam usaha untuk menawarkan lebih banyak info berkenaan seseorang yang terkenal ataupun selebriti dan juga artis, kini Facebook mula memperkenalkan beberapa perubahan pada halaman profil umum.
Daripada apa yang kelihatan, Facebook menarik informasi daripada beberapa laman utama, termasuk WikiPedia dan juga Freebase dalam memaparkan maklumat yang berguna, disamping pada masa yang sama mengintegrasikan elemen sosial, seperti melihat gambar dari rakan-rakan mengenai seseorang, ataupun siapakah rakan-rakan anda yang “Like” akan halaman tersebut.
Buat masa ini, daripada apa yang kami lihat, perubahan ini diperkenalkan pada Community Page, dan bukannya halaman yang diuruskan oleh perseorangan.
Sejak akhir-akhir ini, isu penerimaan emel SPAM telah menjadi satu isu yang sensitif dalam kalangan pengguna. Saban waktu, pasti ada emel-emel yang tidak pernah kita ketahui daripada mana datangnya, masuk ke emel kita.
Kebanyakkan daripada emel-emel ini adalah emel berbentuk promosi produk daripada pemilik-pemilik bisnes yang hanya mahu iklan mereka sampai kepada lebih ramai prospek sahaja – tanpa memikirkan akibat disebalik perbuatan mereka itu.
Dengan kewujudan pelbagai servis pihak ketiga yang mana melaluinya, seseorang boleh mendaftar dengan mudah dan memuatnaik fail yang mengandungi ratusan maklumat peribadi seperti nama dan emel (kebiasaanya di dalam format Excel .XLS & .CSV), aktiviti menghantar emel cara pukal secara berhemah semakin diabaikan.
Lebih memburukkan lagi keadaan, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah menjual senarai maklumat sulit orang awam seperti nama dan alamat emel dalam bentuk pukal pada harga-harga yang tertentu sekaligus memudahkan fail ini dijadikan ‘modal’ promosi atas-talian mereka.
Sebagai seorang pemilik bisnes yang mahu menjaga kelangsungan bisnes, aktiviti ini bukan sahaja menjejaskan nama baik anda, malah ianya juga boleh menyebabkan prospek anda hilang kepercayaan kepada usaha niaga yang sedang anda usahakan.
Terdapat beberapa garis panduan di sini untuk anda titik beratkan sebelum membuat keputusan untuk menggunakan medium emel sebagai salah satu medium promosi atas talian dan kempen pemasaran anda:
Dapatkan senarai emel (mailing list) dengan cara yang sah sahaja
Terdapat pelbagai cara pada hari ini untuk seseorang atau sesebuah bisnes itu mengumpul senarai nama dan emel prospek yang berminat terhadap sesuatu produk. Caranya bukan dengan jual beli senarai emel yang terdapat di pasaran sekarang. Ianya salah.
Contohnya adalah dengan menggunakan opt-in form yang mana melaluinya, anda boleh memberikan insentif kepada mereka yang mendaftar seperti buku digital percuma dan sebagainya. Situasi menang-menang di sini.
Perkenalkan diri & maklumkan langganan mereka
Pastikan juga anda memperkenalkan diri dan memaklumkan kepada prospek anda bahawa dengan memberikan nama dan emel kepada anda, secara automatik mereka akan menerima surat digital (newsletter) seterusnya pada masa hadapan daripada anda.
Maklumkan dengan jelas kepada mereka bahawa mereka boleh memilih untuk berhenti menerima emel daripada anda dengan nyah-langgan (opt-out) pada bila-bila masa mereka mahu.
Pastikan sistem pengurusan emel berfungsi dengan baik
Pastikan juga sistem pengurusan emel yang anda gunakan dalam keadaan yang baik di mana mampu memproses setiap permintaan daripada prospek dengan cepat dan mudah. Jika tidak, anda berdepan dengan risiko undang-undang siber.
Sertakan maklumat hubungi di dalam setiap emel.
Menghantar emel tanpa maklumat hubungi umpama menerima surat layang. Oleh yang demikian, buktikan kredibiliti anda sebagai seorang pemilik bisnes dengan meletakkan maklumat berikut di dalam setiap emel yang anda hantarkan:
Nama anda / bisnes
Nombor telefon
Alamat emel yang aktif
Alamat pejabat (jika ada)
Beritahu prospek daripada mana anda mendapat maklumat mereka
Jika anda jarang menghantar emel atau hanya menghantar emel dalam satu jarak yang lama, pastikan anda memaklumkan semula kepada prospek anda daripada mana anda mendapat maklumat mereka.
Anda mungkin boleh gunakan skrip sebegini pada bahagian awal emel anda:
“..anda (nama penerima) menerima emel ini kerana anda pernah mengisikan nama dan emel di (laman web anda) / borang pendaftaran keahlian kedai kami (nama kedai anda) sebelum ini.”
Gunakan Ruangan BCC Sekiranya Diperlukan
Kadang-kala, anda mungkin ingin menghantar emel secara manual kepada lebih daripada satu penerima tanpa menggunakan aplikasi atau perkhidmatan khas. Kebanyakkan pengguna tidak sedia maklum akan penggunaan BCC (Blind-Carbon-Copy) pada aplikasi emel mereka yang digunakan untuk menyembunyikan alamat emel penerima daripada penerima-penerima sama yang lain.
Kebiasaannya, penghantar akan menggunakan ruangan CC sahaja, sekaligus menjadikan alamat emel penerima yang lain terdedah kepada umum, dan mempunyai risiko untuk disalah-guna untuk SPAM dan sebagainya. Tetapi, dengan menyertakan alamat emel pada ruangan BCC, ia menyembunyikan alamat emel daripada para penerima lain.
Pada masa yang sama, ia juga boleh mengelakkan penerima daripada memilih fungsi Reply Alldan membuatkan semua penerima lain menerimanya.
Penutup
Kesimpulannya, menghantar emel secara pukal tidak salah jika anda mengamalkan cara-cara yang sah dan disenangi penerima emel. Ini kerana, dengan cara-cara di atas, penerima emel akan lebih mudah mengingati siapa anda dan tidak lagi tertanya-tanya siapakah anda.
Hubungan yang baik dan disokong oleh cara yang berhemah mampu membina kepercayaan prospek terhadap usaha niaga yang anda sedang jalankan. Prospek senang hati, tak jadi tekan butang ‘Report As Spam’ lagi. Anda promosi, mereka beli.
Artikel ini ditulis oleh Zulhilmi Zainudin, pengasas Zulh Freelancer yang mana memfokuskan kepada bidang pemasaran internet, penjenamaan produk dan perkhidmatan melalui grafik dan pengiklanan digital. Ikuti beliau di Twitter.
Bersempena dengan hari Natal, ia kelihatan pihak Oppo, melalui halaman Facebook mereka menyediakan kejutan, mengumumkan yang mana Oppo Find 5 akan hadir ke Malaysia pada suku tahun pertama 2013 dalam variasi 16GB dan juga 32GB.
Oppo sebelum ini mengumumkan pelancaran Find5 pada awal bulan Disember 2012, dimana melalui telefon pintar berasaskan Android daripada Oppo, ia menyertakan cip pemprosesan empat-teras 1.5GHz, skrin bersaiz 5.0-inci dengan resolusi 1080×1920 pixel (441PPI), memori sebanyak 2GB RAM, storan terbina 16GB, serta didatangkan bersama-sama kamera 13-megapixel pada bahagian belakang dan 1.9-megapixel pada bahagian hadapan.
Tarikh rasmi bilakah ia akan dijual masih tidak diketahui. Mengikut harga jualan globalnya, Find 5 versi 16GB berharga $499 (~RM1527) manakala Find 5 versi 32GB berharga $569 (~RM1742)