Gema riuh di arena Internet sepanjang tahun 2012 akan satu teknologi yang dikenali sebagai NFC, ataupun nama penuhnya iaitu Near Field Communication. Adakah kita mengetahui dan memahami apakah yang dimaksudkan dengan NFC ini, dan adakah kita memahami kitaran mekanisma operasinya? Jika anda kurang memahaminya, ataupun tidak memahaminya langsung, artikel ini akan membantu anda untuk mengetahui tentang asas-asas teknologi yang dibawakan oleh NFC ini.
Sejarah NFC
Sejarah NFC bermula pada tahun 1983, iaitu ketika diperkenalkan teknologi Pengenalan Dengan Menggunakan Frekuensi Radio (Radio-Frequency Identification ataupun RFID). Namun, nama NFC mula muncul pada tahun 2004 setelah ditubuhkan Forum NFC oleh Nokia, Philips dan Sony. Tahun demi tahun berlalu, beberapa piawaian telah diperkenalkan sehinggalah telefon pintar yang menggunakan NFC pertama diperkenalkan iaitu Nokia 6131 pada tahun 2006 dan kemudian pada tahun 2010 diperkenalkan pula Samsung Nexus S iaitu telefon pintar Android pertama yang menggunakan NFC.
Sehingga kini, peranti pintar yang menggunakan NFC semakin bertambah, antaranya ialah BlackBerry Curve, Galaxy Nexus, HTC One X, LG Optimus Vu, Nokia Lumia 920, Samsung Galaxy S3, Sony Xperia S, dan juga banyak lagi.
Konsep Ringkas NFC
Sebagaimana yang dimaksudkan dengan namanya, NFC merupakan protokol penghantaran dan penerimaan data pada jarak yang dekat sahaja, iaitu pada jarak yang kurang daripada 4 sentimeter (4 cm).
Jarak penghantaran singkat mampu membendung masalah seperti data dicuri pihak ketigaSecara ringkas, anda boleh membayangkan corak mekanismanya sama seperti perkongsian data yang dilakukan oleh suami isteri yang dilakukan secara berbisik. Si suami pulang daripada pejabat lalu melihat anaknya sedang menangis di meja belajar. Kemudian si suami pun mencuit isterinya supaya dibisikkan kepadanya berapakah bilangan A yang diperolehi oleh anaknya dalam peperiksaan PMR yang lalu.
Dengan penuh hati-hati, si isteri pun berbisik ke telinga suaminya supaya perbualan mereka tidak dapat didengari oleh si anak. Sama seperti NFC, jarak yang teramat dekat untuk perkongsian data mampu membendung masalah seperti data dicuri sebagaimana kelaziman yang berlaku di dalam rangkaian tanpa wayar (WiFi).
Jenis Penghantaran & Penerimaan Data Melalui NFC
Antara dua medium – iaitu medium aktif dan medium pasifNFC membawakan 3 jenis penghantaran dan penerimaan data. Jenis yang pertama ialah perkongsian data antara medium aktif dan medium pasif. Melalui jenis ini, komunikasi yang berlaku ialah diantara peranti pintar seperti telefon pintar (medium aktif) dan medium seperti kad ataupun tag (medium pasif).
Melalui jenis ini, kitaran penghantaran data yang berlaku adalah seperti berikut:
- Kad yang mempunyai cip memori NFC (kad ini juga dikenali sebagai NFC Tag ataupun NFC Smart Poster) merupakan kad yang dikuasakan oleh medan magnet. Ia tidak memerlukan sebagai bateri untuk menggerakkan operasinya. Bergantung kepada jenis memorinya sama ada data di dalamnya boleh dipadamkan/ditulis semula atau tidak.
- Peranti pintar yang merupakan medium aktif akan memancarkan gelombang radio untuk berkomunikasi dengan NFC Tag. Gelombang yang dipancarkan akan mengaktifkan NFC Tag tersebut.
- NFC Tag yang menerima gelombang radio itu akan berinteraksi dengan peranti pintar dan seterusnya menghantar data yang diminta oleh peranti pintar.
Contoh implementasi bagi komunikasi jenis ini ialah NFC Smart Poster seperti gambar dibawah;
Sebagai contoh tambahan, pihak muzium boleh mengaplikasikan NFC Tag ini pada setiap artifak yang dipaparkan dalam ruang pameran. Pelawat hanya perlu mencari NFC Tag sahaja untuk mendapatkan info akan artifak berkenaan, mungkin dalam bentuk pautan video, atau kandungan-kandungan yang berkaitan. Ia lebih interaktif, menjimatkan kertas dan juga kandungan boleh dikemaskini dengan mudah selain daripada memudahkan pelawat untuk memuat turun maklumat untuk dijadikan simpanan.
Antara medium aktif dan aktifManakala bagi jenis yang kedua pula ialah perkongsian antara dua peranti aktif iaitu interaksi antara dua peranti pintar yang masing-masingnya dilengkapi dengan teknologi NFC. Anda boleh memikirkan bahawa konsep mekanismanya sama seperti penghantaran dan penerimaan data melalui Bluetooth namun dengan beberapa ciri-ciri yang tidak terdapat pada Bluetooth.
Ciri-ciri berkenaan ialah perkongsian data lebih perlahan jika dibandingkan dengan Bluetooth, jarak antara dua peranti mestilah teramat dekat (kurang dari 4 cm), namun ia menggunakan tenaga yang kurang dan juga ia tidak memerlukan sebarang pengesahan berkata-laluan (authentication code) ataupun pairing process. Hanya pastikan sahaja 2 peranti pintar berada pada satu jarak yang dekat, aktifkan NFC dan penghantara data boleh dilakukan.
Namun demikian, hanya data yang bersaiz kecil sahaja mampu dihantar dan diterima pada waktu ini. Adalah mustahil untuk anda melakukan penghantaran data seperti rakaman berdefinisi tinggi atau apa-apa yang serupa dengannya.
Android Beam merupakan implementasi NFC bagi jenis ini dan anda boleh menonton video di bawah ini untuk memahaminya dengan lebih lanjut.
NFC untuk transaksi tanpa sentuhanNFC jenis ketiga merupakan jenis yang paling dinantikan oleh para pengguna, iaitu menggunakan NFC bagi melakukan transaksi tanpa sentuhan (contactless payment) di kedai-kedai yang menyokong teknologi ini.
Sebenarnya, teknologi transaksi tanpa wayar ini sudahpun diaplikasikan seperti kad Touch&Go, namun dengan menggunakan teknologi NFC pada peranti mudah-alih, beberapa masalah keselamatan dapat dielakkan.
Pertamanya, jika kita kehilangan kad kredit tanpa sentuh, ia masih dapat digunakan lagi lebih-lebih lagi bagi individu yang berniat jahat. Kad yang dicuri berkenaan hanya dapat dinyahaktifkan selepas pihak bank dihubungi supaya ditamatkan perkhidmatan kad berkenaan (sekiranya pengguna kad berkenaan sedar akan kehilangan kad tersebut).
Situasi yang sama tidak akan berlaku dengan teknologi NFC. Telefon anda sendiri pun sudah mempunyai pelbagai kunci digital, sebagai contoh kunci bagi paparan (lockscreen), kunci bagi aplikasi transaksi berkenaan dan lain-lain lagi. Contohnya jika anda menggunakan Google Wallet untuk pembayaran melalui NFC, anda boleh membatalkan sebarang kad kredit yang dipautkan dengan mudah melalui antaramuka web sekiranya peranti pintar anda hilang.
Selain daripada nilai keselamatan yang dipertingkatkan, implementasi NFC dan juga gabungan aplikasi tertentu akan membawakan lebih pengalaman ketika berjual beli di mana sebarang kupon boleh dimasukkan secara terus ke dalam peranti pintar anda, resit pembelian dalam bentuk digital dimuat naik terus ke peranti pintar anda, dan juga ia boleh dilengkapkan dengan aplikasi penjejak perbelanjaan bulanan.
Masa hadapan NFC
Pada masa akan datang, barangkali kita tidak memerlukan sebarang kunci fizikal untuk menghidupkan kereta dan juga untuk membuka pintu rumah. Semuanya diuruskan dengan cekap oleh peranti pintar yang dikuasakan oleh NFC ini.
Jika anda berada di pusat membeli belah pula, NFC (dan juga gabungan aplikasi tertentu) boleh memberikan keselasaan kepada anda untuk melakukan perbandingan harga antara produk-produk tertentu serta membaca ulasan produk berkenaan daripada pengguna-pengguna yang sudah memilikinya.
Penutup
Pada ketika ini, teknologi NFC masih lagi baru. Ia mungkin mengambil masa untuk ‘matang’ serta digunakan secara meluas. Mungkin tidak lama lagi hampir semua urusan jual beli, perkongsian fail serta bidang-bidang berkaitan akan mengambil manfaat sepenuhnya daripada kehebatan teknologi NFC ini.
Mari kita tunggu sahaja apa yang masa hadapan janjikan kepada kita bagi teknologi NFC ini.
Artikel ini ditulis oleh saudara Aizan Fahri, salah seorang pelajar INTEC berumur 18 tahun. Ikuti beliau di Twitter melalui @aifrantzataupun membaca nukilan beliau di blog peribadi.