Perkara berkaitan dengan Windows Phone Apollo ataupun Windows Phone 8 telah dikatakan sejak daripada tahun lepas lagi. Walaupun fungsi penuh padanya masih tidak diketahui lagi buat masa ini, namun kini salah satu poster telah mula kelihatan, memperlihatkan peranti awal Nokia bersama sistem operasi Windows Phone 8.
Ia masih tidak diketahui berkenaan dengan kesahihan gambar poster yang didapati oleh pihak Phone Arena ini, namun salah satu perkara yang dapat dilihat adalah penggunaan jenaman Windows Phone 8 padanya. Sekiranya ia benar, maka kita akan dapat melihat mungkin Microsoft akan menjadikannya selari dengan nama sistem operasi untuk desktop daripada mereka yang disasarkan untuk dilancarkan pada penghujung tahun ini, iaitu Windows 8.
Salah satu perkara yang dikatakan akan disertakan pada Windows Phone 8 dan Windows 8 kelak adalah integrasi menyeluruh antara satu sama lain, membolehkan para pengguna mengakses data pada satu sama yang lain dengan mudah. Mungkin perkara ini dijayakan dengan penggunaan SkyDrive, dan mungkin juga Microsoft mempunyai sesuatu yang masih belum diperlihatkan kepada umum.
Selain daripada Windows Phone 8 sendiri, poster tersebut turut memperlihatkan peranti Windows Phone 8 daripada Nokia, yang mana secara tidak langsung mengikut pewarnaan logo Windows sebelum ini.
Jadi, apa kata anda, adakah ianya gambar yang benar, ataupun palsu semata-mata?